KENYATAAN MEDIA
PESURUHJAYA PAS NEGERI PERAK
PAS PERAK PERKUKUH PENYATUAN UMMAH, UTAMAKAN KEBAJIKAN RAKYAT
Badan Perhubungan PAS Negeri Perak mengambil maklum pelbagai laporan, ulasan dan spekulasi berkaitan perkembangan politik negeri kebelakangan ini.
PAS Perak memilih untuk mendepaninya dengan tenang, matang dan bertanggungjawab.
Sebarang pandangan yang disiarkan melalui portal atau media sosial tidak wajar dianggap sebagai pendirian rasmi PAS Perak sekiranya tidak dikeluarkan melalui saluran rasmi parti.
PAS Perak tidak mahu terheret dalam polemik yang tidak memberi manfaat kepada rakyat. Sebaliknya, seluruh perhatian perlu diberikan kepada perkara yang lebih besar dan penting, iaitu memperkukuh penyatuan ummah, menjaga kebajikan rakyat serta membina masa depan Perak yang lebih baik.
Gagasan Penyatuan Ummah akan terus menjadi antara keutamaan PAS Perak. Segala ruang yang boleh memperkukuh persefahaman, kerjasama dan keharmonian masyarakat perlu dimanfaatkan demi memastikan rakyat tidak terus terheret dalam perpecahan politik.
Dalam masa yang sama, PAS Perak akan terus memberi perhatian kepada agenda pembangunan negeri yang menyentuh kehidupan rakyat, termasuk peluang ekonomi, pendidikan, kebajikan, kecekapan perkhidmatan awam, integriti pentadbiran serta kesejahteraan masyarakat.
Kita mahu agenda pembangunan Perak dirasai oleh rakyat dalam kehidupan seharian; melalui peluang pekerjaan yang lebih baik, pendidikan yang berkualiti, kebajikan yang berkesan, perkhidmatan awam yang cekap dan ruang ekonomi yang lebih luas untuk rakyat.
Justeru, PAS Perak menyeru seluruh pimpinan, ahli dan jentera parti agar terus memberikan tumpuan kepada usaha memperkukuh penyatuan ummah dan khidmat kepada rakyat, serta bersama-sama menyumbang kepada pembinaan Perak yang lebih maju, harmoni dan sejahtera.
PAS Perak percaya bahawa perbezaan pandangan politik tidak seharusnya menghalang kita daripada mencari titik persamaan dalam perkara yang menyentuh kepentingan rakyat dan masa depan negeri.
Penyatuan ummah, kebajikan rakyat dan masa depan Perak hendaklah terus menjadi keutamaan bersama.
“PENYELESAIAN ISLAM,MENGISI KEMENANGAN”
YB DATUK USTAZ IDRIS BIN AHMAD
PESURUHJAYA PAS PERAK
AHLI PARLIMEN BAGAN SERAI
05 OKTOBER 2026
22 RABIULAKHIR 1448 H



Leave a Reply